Keluarga tak henti solat hajat, harap Azi ditemui selamat
Tumpat: Genap dua minggu kehilangan ejen jualan kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim, keluarga masih meletakkan harapan tinggi agar wanita itu ditemui dengan selamat.Kakak mangsa ketika dihubungi berkata, kelegaan sedikit terasa apabila dimaklumkan oleh polis penyiasatan terhadap adiknya yang berusia 36 tahun itu ada perkembangan positif."Walaupun tidak dimaklumkan dengan jelas mengenai perkembangan positif itu, sedikit sebanyak kami berasa lega dan menyerahkan sepenuhnya kepada siasatan polis."Hari ini genap dua minggu Azi (panggilan Rosnazirah) hilang dan sehingga kini tiada khabar berita mengenainya diterima tapi kami masih menaruh harapan tinggi agar Azi ditemukan dengan selamat," katanya.Wanita itu berkata, keluarganya tidak pernah berhenti berharap malah setiap hari sejak tarikh kehilangan Rosnazirah pada 13 September lalu, solat hajat tidak pernah berhenti dibuat.Katanya, mereka kini sudah tidak mengambil pusing terhadap kecaman dan tuduhan yang dilemparkan orang ramai sebaliknya lebih menumpukan usaha pencarian mangsa.Menurutnya, apa yang paling menyedihkan bagi mereka sekeluarga adalah keadaan kedua ibu bapa yang sangat terkesan dengan kehilangan Rosnazirah kerana insiden penculikan berlaku di depan mata mereka."Kedua mereka semakin hilang selera tapi kami perlu memaksa mereka menjamah makanan terutama emak yang menghidap penyakit buah pinggang tahap lima."Selain membuat solat hajat di rumah, ia juga dilakukan di beberapa masjid dan surau sebagai ikhtiar kami dan bantuan daripada orang ramai," katanya.Dalam kejadian jam 5.10 petang itu, mangsa dilarikan sekumpulan lelaki dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, di sini dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios sebelum kenderaan itu ditemukan 10 malam hari yang sama di Kampung Kuala Jambu, Pengkalan Kubor.Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun baru-baru ini berkata, siasatan terhadap kes itu menunjukkan perkembangan positif.Tanpa menjelaskan butiran menyeluruh, beliau berkata, pihaknya sedang bekerjasama dan saling berhubung dengan pihak berkuasa Thailand.
SUMBER-MataJingga.Net
0 Response to "Keluarga tak henti solat hajat, harap Azi ditemui selamat"
Catat Ulasan