Mangsa Culik Ajen Kosmerik Berjaya Diselamatkan

Kota Bharu: Ejen jualan kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim yang berjaya diselamatkan polis selepas diculik sekumpulan lelaki pada 13 September lalu di rumahnya di Tumpat, sesekali dilihat termenung dan menangis seolah-olah terkenang pengalaman ketika dalam tahanan sebelum ditenangkan ahli keluarganya.
Difahamkan, wanita berusia 36 tahun itu tiba di Kelantan pada awal pagi hari ini dan keselamatannya dipantau pihak berkuasa sebelum diiringi Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun ke rumah mentuanya di Kampung Kelochor di sini, pada 2.50 petang.
Sebaik keluar dari kereta, wanita itu yang mengenakan blaus warna biru gelap terus menerpa kedua ibu bapanya yang menunggu di pekarangan rumah dan menangis.
Menurut Muhammad Zaki, mangsa mungkin mengalami tekanan emosi dan pihaknya sudah menjalankan sesi kaunseling bagi mengurangkan tekanan perasaan yang dialami mangsa.
"Kes penculikan ini mendapat liputan meluas dan kita dengan bantuan semua pihak berjaya menyelamatkan mangsa dan membawanya pulang ke pangkuan keluarga dalam keadaan baik.
"Soal keselamatan mangsa selepas ini, keluarga perlu adakan perbincangan mengenai apa langkah seterusnya kerana tidak semestinya bergantung kepada pihak polis semata-mata." katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani memaklumkan Rosnazirah berjaya diselamatkan susulan kedudukan mangsa berjaya dikesan hasil bantuan dan kerjasama erat antara pihak berkuasa Thailand dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Beliau berkata, melalui kerjasama erat itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Diraja Thailand serta perkongsian maklumat dan perisikan berjaya mengenal pasti lokasi keberadaan wanita itu di Thailand.
Mangsa dibawa pulang ke tanah air Khamis lalu dan seramai tujuh lelaki tempatan ditahan dalam kes berkenaan di tiga negeri iaitu Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur.
Dalam kejadian pada 13 September lalu, Rosnazirah dilarikan sekumpulan lelaki dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios.
Terdapat penduduk memaklumkan melihat mangsa dibawa menaiki bot ke Thailand sebelum kereta terbabit ditemui pada 10 malam.
-MataJingga.Net-

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Mangsa Culik Ajen Kosmerik Berjaya Diselamatkan"

Catat Ulasan