Blogger 'Mat Salleh Cari Makan' Rhys William yang hilang di Kuala Tahan, ditemui selamat
JERANTUT: Pengacara warga Britain, Rhys William James Woodfield yang juga merupakan penulis blog makanan “Mat Salleh Cari Makan” serta empat anggota keluarganya yang dilaporkan hilang sejak semalam ditemukan selamat di Kuala Tahan, di sini petang tadi. Isterinya, Haigbrown Woodfield, 30, sebelum itu telah membuat laporan polis mengenai kehilangan Rhys di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut, pada jam 1.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitendan Mazlan Hassan berkata Rhys, 30, bersama empat anggota keluarganya melancong ke Kuala Tahan sejak 25 September lalu dan menginap di sebuah resort di Kuala Tahan sepatutnya pulang ke ibu negara petang semalam. Bimbang dengan keselamatan mereka, isterinya telah melaporkan kehilangan Rhys bersama adik iparnya, Siaw Woodfield, 25, dan Owen Woodfield, 22.
“Turut serta melancong bersama mereka ke Kuala Tahan, iaitu bapa mertuanya, James Woodfield, 62, dan ibu mertuanya, Rachel Anne Woodfield, 60.
“Pada 27 September, kira-kira jam 11.30 pagi, mangsa bersama empat orang ahli keluarganya telah keluar daripada kawasan hutan hujan tropika itu dan sepatutnya pulang ke Kuala Lumpur tetapi tidak dapat dihubungi oleh isteri mangsa,” katanya.
Mazlan berkata, isteri mangsa percaya lokasi terakhir suami dan keluarganya berada di kawasan Hutan Kampung Pagi, Ulu Tembeling.
“Setelah menerima maklumat, pihak polis terus bertindak segera dengan melakukan pencarian di Kampung Pagi melibatkan Pengusaha Eco Rimba Taman Negara Kuala Tahan dan Anggota Pondok Polis Kuala Tahan dari Kuala Tahan ke Kampung Pagi pada jam 2.30 pagi.
“Manakala anggota Pondok Polis Kampung Bantal membuat rondaan Dari Kampung Bantal ke Kampung Pagi pada jam 2.35 pagi,” katanya.
Katanya, operasi mencari dan penyelamat (SAR) dimulakan pada jam 8.00 pagi hari ini dan turut membuka pusat operasi pencarian pada jam 10.00 pagi di Balai Raya, Kampung Pagi yang disertai agensi lain.“Operasi diteruskan, kesemua mangsa hilang ditemui dalam keadaan selamat di Kawasan Sungai Relok, Kampung Pagi, Ulu Tembeling Jerantut pada jam 1.10 tengah hari ini. Semua mangsa dibawa untuk pemeriksaan kesihatan di Klinik Kuala Tahan.
“Saya berterima kasih kepada penduduk kampung dan agensi lain yang turut serta dalam pencarian orang hilang dengan bertindak pantas dan cekap,” katanya.
Mazlan measihatkan pelancong menggunakan khidmat pemandu pelancong bagi mengelak tidak berlaku kejadian sesat dan kecelakaan di hutan.
Sumber-MataJingga.Net
0 Response to "Blogger 'Mat Salleh Cari Makan' Rhys William yang hilang di Kuala Tahan, ditemui selamat"
Catat Ulasan